AME Elite sasar raih RM166.6 juta menerusi IPO

KUALA LUMPUR: Penyedia penyelesaian hartanah industri bersepadu, AME Elite Consortium Bhd (AME) yakin dan bersedia untuk mengembangkan operasinya di luar Johor dalam masa terdekat.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Kelvin Lee Chai berkata bagi melaksanakannya, AME menyasar untuk menjalankan model perniagaan i-Park yang terbukti berjaya di Johor, ke negeri lain di Semenanjung Malaysia.

Katanya, beliau percaya ini adalah masa yang tepat bagi AME untuk membawa jenama i-Park ke bandar lain yang sedang berkembang di negara ini.

“Langkah itu juga akan membolehkan kami memainkan peranan untuk menyokong pelaburan langsung asing (FDI) yang semakin meningkat di negara ini, selain memacu syarikat dalam revolusi Industri 4.0.

“Dalam masa yang sama, kami akan menyiapkan projek taman industri yang sedang dibangunkan di samping meningkatkan portfolio hartanah industri di Johor,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran prospektus tawaran awam permulaan (IPO) AME di sini, hari ini.

AME yang ditubuhkan sejak 1995 menyediakan penyelesaian komprehensif dan bersepadu merangkumi rekaan dan pembinaan lapangan pengeluaran, pembangunan taman industri berpagar dan berpengawal serta jualan dan pajakan unit kilang industri.

Syarikat berkenaan dijangka disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 14 Oktober depan.

Menerusi penyenaraian berkenaan, ia dijangka meraih dana bernilai RM166.6 juta, sebanyak RM111.1 juta akan diperuntukkan bagi pengembangan perniagaan dan baki RM55.5 juta untuk jualan pemegang saham menerusi tawaran untuk jualan.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Pengarah Eksekutif AME, Simon Lee Sai Boon serta Ketua Eksekutif CIMB Investment Bank Bhd, Jefferi M Hashim.

Mengulas lanjut, Kelvin berkata model perniagaan bersepadu yang dijalankan AME adalah sangat berjaya.

“Kepakaran kami adalah dalam aspek rekaan, pembinaan, jualan dan pajakan yang membolehkan kami memegang rekod baik dalam kualiti dan kelajuan menyediakan penyelesaian yang diminta oleh pelanggan.

“Kebanyakan daripada dana IPO itu akan disalurkan kepada pembangunan hartanah industri di masa akan datang serta projek pelaburan.

“Ia termasuklah pengambilalihan tanah dan potensi kerjasama, kerana kami memanfaatkan reputasi dan jenama yang dimiliki,” katanya.

Source: Utusan